Zila Bakarin : Mangsa filem porno online



"GAMBAR bogel dan adegan asmara dengan lelaki Barat yang tersebar di dalam internet itu bukan gambar saya. Saya tidak ada kena mengena dengan perbuatan yang tidak bermoral itu.''

Demikian ungkapan yang terlahir daripada mulut Zila Bakarin sebaik saja diajukan pertanyaan mengenai promosi gambar lucah yang menggunakan namanya. `Promosi' yang tersebar di internet itu adalah bagi melariskan jualan cakera padat video (VCD) yang kononnya dilakonkan oleh Zila dengan seorang lelaki kulit putih.

Sambil cuba tersenyum Zila bersetuju dengan pendapat bahawa pembeli VCD lucah tersebut pasti merasa rugi setelah menyedari diri mereka tertipu. Ini kerana VCD yang berjudul Zila Bakarin Bersama Lelaki Mat Salih yang dijual dengan harga RM25 sekeping bukanlah aksinya.



Gambar yang di Snap Daripada VCD lucah yang dikatakan ziela bakarin. Nampak sangat Tipu kan?

"Kalau benar itu adalah gambar dan lakonan saya, pasti sekarang ini saya sudah kaya. Tidak perlulah saya bekerja keras lagi. Malangnya, yang kaya sekarang adalah orang yang tidak bertanggungjawab itu,'' katanya geram.

Zila yang masih boleh tersenyum dengan senario tersebut bagaimanapun amat kesal kerana orang yang tidak bertanggungjawab itu menggunakan namanya.

Beliau yang telah melihat gambar tersebut, malah memuatkannya dalam telefon bimbitnya sebagai bukti, berharap dengan kenyataan ini namanya tidak lagi dikaitkan dengan VCD tersebut.

``Kalau saya dapat tahu dan mengenali orang yang mengguna serta mengedarkan gambar itu, mahu saja saya kerat kepala dia. Begitu mudah dia mengaut keuntungan dengan memburukkan nama baik saya,'' kata Zila yang amat kesal dengan kejadian tersebut.

Zila percaya kebenaran akan tetap terbukti dan satu hari nanti orang yang bertanggung jawab itu akan menerima hukuman yang setimpal. Jika tidak di dunia, hukuman itu pasti akan diberikan di akhirat.




"Saya perlu menjelaskan perkara ini kepada umum supaya kerjaya saya tidak tersekat. Jika perkara itu tidak dijelaskan, penerbit dan pengarah takut untuk menawarkan saya berlakon,'' tambahnya.

Menurut Zila, lakonan adalah periuk nasinya. Jika tidak diselesaikan perkara ini, beliau takut drama lakonannya disekat penyiarannya di kaca televisyen.

Zila mendapat tahu cerita tersebut daripada abang iparnya. Beliau kemudiannya telah melihat sendiri gambar yang disebarkan itu menerusi internet.

"Bila tahu cerita ini, mulanya saya tidak mahu tampil membuat sebarang kenyataan tetapi keluarga menasihatkan supaya saya membuat kenyataan ini.

"Menurut mereka, jika saya mendiamkan diri, bererti masyarakat dan pihak media akan mempercayai segala fitnah yang buruk ini,'' tegas Zila yang telah membuat laporan polis pada 7 Ogos lalu di Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 28, sedar bahawa orang yang tidak pernah melihatnya secara dekat pasti akan mempercayai bahawa wanita di dalam gambar itu adalah dirinya.

Memang tidak dinafikan wajah wanita yang beraksi dalam adegan lucah tersebut hampir menyerupai Zila terutama di bahagian hidung. Ada juga yang berpendapat wajah itu hampir serupa dengan pelakon drama Wan Norazlin.



Bagaimanapun, kata Zila, beliau tidak pernah pergi ke Amerika Syarikat pada tahun 1999 sebagaimana tarikh yang tercatat di dalam gambar tersebut. Malah, pelakon seksi ini tidka pernah menjejakkan kaki ke bumi Uncle Sam itu.

Walaupun Zila gemar berpakaian seksi tetapi beliau belum sampai lupa diri hingga sanggup melakukan perkara yang terlarang.

Zila yang turut berlakon dalam telefilem Sayangnya Lia berharap dengan penjelasan tersebut, namanya tidak lagi dikaitkan dengan VCD lucah yang semakin berleluasan pengedarannya ketika ini. Dipetik Dari Utusan Online...