Fazura : Selamat dar hukuman


Fazura (gambar atas) ceria selepas dibebaskan atas tuduhan memukul suri rumah, Geraldine Mariana Wong di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Pelakon popular, Fazura hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada tuduhan mencederakan seorang suri rumah di sebuah kelab malam, empat tahun lalu.

Majistret Aizatul Akmal Maharani memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

more..

Beliau dalam penghakimannya berkata, Fazura dalam keterangan pembelaannya memberitahu rambutnya ditarik dengan kuat oleh pengadu, Geraldine Mariana Wong semasa dia sedang beredar dari tempat kejadian selepas pergaduhan pertama.

Menurut Aizatul, tertuduh yang dalam kesakitan cuba melepaskan diri dengan menghayunkan kasutnya ke arah Geraldine yang mana keterangan itu disokong oleh keterangan dua saksi pembela.

''Setelah saya dengan teliti menilai keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan keterangan tertuduh serta saksi-saksi pembelaan, mahkamah ini menerima penjelasan tertuduh.

''Dan seterusnya pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh,'' katanya.

Fazura yang bergaun hitam dan merah jambu dilihat menyapu air mata sebaik mendengar keputusan itu dan memeluk pelakon dan pengacara, Cheryl Samad yang berada di galeri awam sambil menangis.

Dalam kes ini, Fazura atau Nur Fazura Sharifudin, 24, yang merupakan pelakon utama filem dan drama bersiri Gol & Gincu disaman atas tuduhan mencederakan Geraldine, 33, di Bar Luna Pacific Regency Hotel & Apartments, Jalan Kia Peng di sini kira-kira pukul 1.20 pagi, 19 Disember 2004.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang berjalan sejak 22 Ogos 2006 memanggil lima saksi pendakwaan, manakala pihak pembelaan pula mengemukakan tiga saksi selepas Fazura diarah membela diri pada 7 Disember tahun lalu.

Fazura diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hasan dan Shahinuddin Sharif, manakala pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor R. Rukumar.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Fazura berkata, dia benar-benar lega dengan keputusan tersebut selepas melalui keperitannya selama empat tahun.

Katanya, dia membuat persediaan untuk menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan tidak menjangka akan dibebaskan daripada tuduhan itu.

Berikutan pengalaman tersebut, pelakon itu berjanji akan lebih berhati-hati serta menjauhkan diri daripada kejadian seumpama itu pada masa depan.

Selain Cheryl, Fazura turut ditemani ibu, saudara dan beberapa orang rakannya yang hadir untuk memberi sokongan moral.